Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 | Kisah Inspirasi Guru Luar Biasa Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal


Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 | Kisah Inspirasi Guru Luar Biasa Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal |  Jasa dan pengorbanan guru sememangnya sangat besar dalam mendidik kita tanpa jemu dan tidak akan pernah terbalas. Jadi, mereka harus dihormati dan dihargai sebaik mungkin. Bagi menghormati dan menghargai jasa guru yang melaksanakan tanggungjawab melangkaui bidang tugas hakiki mereka dalam mendidik, memotivasi dan memberi inpirasi kepada pelajar, McDonald's Malaysia telah meraikan 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 (AGI2021), sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan tahun ini.

Anugerah tahunan ini bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf guru yang melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas hakiki demi menghasilkan impak berpanjangan kepada pelajar. Kini, anugerah ini telah memasuki tahun kelima penganjurannya dengan menerima lebih 4,000 pencalonan daripada rakyat Malaysia sejak 2 April hingga 18 April 2021 dan seramai 25 orang guru luar biasa telah dipilih sebagai penerima anugerah.

Anugerah Guru Inspirasi ini juga menjadi platform untuk mengetengahkan golongan pendidik sebagai insan luar biasa dan wira dalam kehidupan seharian kita. 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar berkata tahun ini pihaknya menerima pelbagai kisah menarik mengenai guru-guru yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan atau 'go the extra mile' untuk memupuk minda generasi muda dan membina asas kukuh yang akan membentuk masa depan mereka. Kisah-kisah yang diterima menceritakan dedikasi dan komitmen tidak berbelah bagi guru-guru dalam melaksanakan tugas harian mereka, sama ada besar atau kecil yang membentuk keseluruhan profesion mereka.

Bukan itu sahaja, banyak pencalonan pada tahun ini mengisahkan kekuatan dan ketabahan para guru dalam mendepani keadaan pandemik semasa dengan menerapkan kreativiti dan kesungguhan untuk terus berhubung dengan pelajar mereka serta memastikan supaya tidak ada pelajar yang tercicir dalam pelajaran. Ini termasuk mewujudkan persekitaran yang interaktif dan menyediakan alat yang mencukupi untuk pelajar ketika mereka belajar dari jarak jauh.

Sememangnya tanggungjawab seorang pendidik itu sangat besar dan mereka tidak pernah berputus asa serta sanggup menggalas tugas berat ini dengan bersemangat dan sepenuh jiwa raga mereka tanpa berkeluh kesah.



Para penerima anugerah dipilih oleh panel hakim yang terdiri daripada wakil-wakil dari McDonald's Malaysia, Kementerian Pendidikan dan media. Setiap seorang daripada 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 menerima wang tunai berjumlah RM5,000 manakala pencalon mereka pula menerima hadiah McDonald's bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.

Senarai penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 👇👇

https://www.mcdonalds.com.my/bm/anugerahguruinspirasi/winners/2021

Dalam 25 orang guru yang memenangi Anugerah Inspirasi Guru McDonald's 2021 ini, aku sangat tertarik dengan kisah inspirasi salah seorang daripadanya iaitu Kisah Inspirasi Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal, guru sekolah SK Simpai.. Kisahnya sangat memberi inpirasi dan membaca kisahnya membuatkan aku rasa sangat kagum dengan beliau di atas usaha dan sumbangan beliau dalam pembangunan pendidikan sekolah Orang Asli, SK Simpai.. Jom ikuti kisah Cikgu Mohamad Sahaimi ini.. 

Kisah Inspirasi Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal Menjadi Tulang Belakang Kepada Pembangunan Dan Kejayaan SK Simpai



Terima kasih cikgu kerana mendidik saya dan sentiasa memberikan sokongan kepada saya sehingga saya berjaya ke menara gading, dan terima kasih yang tak terhingga kerana menjadi guru yang mempunyai jiwa yang sentiasa memberikan inspirasi kepada kami untuk terus berjaya - Tisah a/p Semara

Titipan penghargaan daripada seorang bekas pelajar buat guru kesayanganya, Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal yang telah dicalonkan dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 (AGI2021) yang juga merupakan salah seorang pemenang anugerah tersebut. Kisah inspirasi yang dititipkan oleh Tisah a/p Semara ini akan mewujudkan rasa kagum kepada sesiapa sahaja yang membacanya.. Pengorbanan yang cukup besar seorang guru dalam membangunkan pendidikan di sekolah orang asli, SK Simpai.. 

Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Mie Ubai merupakan guru yang mengajar di sekolah orang asli, SK Simpai, Muadzam Shah, Pahang.. Beliau mula berkhidmat di SK Simpai pada tahun 2014 dan sehingga kini telah hampir 21 tahun beliau mencurahkan bakti membangunkan pendidikan orang asli di sana. 

Cikgu Mohamad Sahaimi mendapat pendidikan awal di SK Ubai dan menamatkan pembelajarannya diperingkat menengah di SMK Dato Mahmud Mat Pekan, Pahang.. Selepas itu, beliau meneruskan pengajiannya di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan di peringkat Diploma dan menyambung Digree Child Hood Education di MSU..

Cikgu Mohamad Sahaimi merupakan tulang belakang kepada pembangunan dan kejayaan SK Simpai. Terlalu banyak sumbangan beliau kepada sekolah seperti membantu menyediakan prasarana sekolah dan kemudahan bagi para pelajar SK Simpai. 

Kata anak didiknya, beliau mempunyai jiwa yang cukup kental untuk memberikan kejayaan kepada anak-anak masyarakat orang asli di SK Simpai. Bukan sahaja disenangi oleh murid-murid malah beliau juga disegani dan dihormati oleh rakan sejawat serta masyarakat sekeliling kerana sikapnya yang ramah, baik hati dan sentiasa membantu penduduk kampung serta masyarakat orang asli menjadikan hubungan antara ibu bapa, masyarakat dengan pihak sekolah terjalin erat.

Sumbangan Dan Jasa Bakti Cikgu Mohamad Sahaimi Dalam Membangunkan Pendidikan di SK Simpai.

Pembangunan Kelas Pra-Sekolah

Bagi Cikgu Mohamad Sahaimi, "Anak itu umpama kain putih, ibu bapa dan persekitaranlah yang mencorakkan sama ada menjadi baik atau buruk mereka".. Dari situ jugalah, beliau telah merangka satu pembangunan kelas pra sekolah dengan menyediakan prasarana dan kemudahan kelas pra di SK Simpai. Dalam mencapai matlamat tersebut, beliau sanggup membelanjakan ribuan ringgit dan bekerja melebihi masa seorang guru semata-mata untuk memastikan anak-anak didiknya mendapat pendidikan yang sempurna.

Dengan kemahiran yang beliau ada, Cikgu Mohamad Sahaimi telah membina sendiri peralatan dan Taman Prasekolah di SK Simpai. Untuk merealisasikan pembangunan Kelas Pra Sekolah ini, beliau telah menggunakan sumber kewangannya sendiri memandangkan tiada peruntukan untuk kemudahan ini.. Beliau juga telah membeli sendiri keperluan dalam kelas seperti tv, komputer dan lain-lain bagi keselesaan para pelajarnya dalam menimba ilmu pengetahuan seiring dengan kemajuan pendidikan pada hari ini..


Hebatnya seorang guru bernama Mohamad Sahaimi bin Zainal ini.. Sanggup berhabis demi kelangsungan pendidikan anak-anak SK Simpai.. Semoga beliau diberkati dan dilimpahi rezeki yang halal dapat berbakti kepada sekolah dan juga masyarakat..

Pembangunan Sukan Pelayaran

Cikgu Mohamad Sahaimi merupakan seorang guru yang mempunyai pelbagai kepakaran dan diiktiraf dalam kemahiran di hutan, sungai, laut dan gunung. Beliau juga merupakan jurulatih cemerlang Pusat Kokurikulum Pahang dalam pengendalian aktiviti luar seperti kayak, berakit dan survival. Dengan kepakaran yang beliau ada, pembangunan sukan pelayaran dapat direalisasikan di SK Simpai. 

Untuk mencapai matlamat itu, beliau telah bertekad untuk memiliki sendiri kemudahan peralatan pelayaran bagi memudahkan latihan dilakukan serta bagi memantapkan kebolehan murid dan sebagai langkah penjimatan kos latihan.. Cikgu Mohamad Sahaimi telah membaikpulih sendiri bot lama dan membuat sendiri peralatan pelayaran. Sesi latihan pula diadakan di lombong yang berada di dalam hutan. 

Berkat usahanya yang tidak pernah berputus asa, beliau telah berjaya membawa murid-muridnya mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang yang sebelum ini dianggap sebagai satu usaha yang sia-sia tetapi kerana percaya akan potensi dan kemampuan anak-anak orang asli, beliau telah buktikan mereka juga mampu berjaya sehinggalah SK Simpai melakar pelbagai kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Pembangunan Unit Beruniform Pengakap

Cikgu Mohamad Sahaimi tidak berhenti hanya disitu sahaja, beliau turut memastikan pembangunan dalam unit beruniform juga dilaksanakan di SK Simpai dengan mewujudkan Unit Beruniform Pengakap.. Ini bertujuan menarik minat murid hadir ke sekolah melalui aktiviti unit beruniform dan rekreasi sekaligus dapat membentuk jatidiri, nilai murni serta semangat berpasukan dikalangan para pelajarnya.

Perkhemahan Pengakap Negeri Pahang

Menjadi tuan rumah dalam penganjuran perkhemahan Pengakap SMOA Negeri Pahang

Pengurus dan Pelaksana Program Maritim & Hubungan Sosial Anjuran Pengakap SK Simpai

Pengurus & Pelaksana XPDC Kayak Merdeka Black Water Anjuran Pengakap SK Simpai

Kembara Berbasikal Pengakap

Pembangunan Sukan Akuatik SK Simpai

Bagaimana ianya bermula?

Kata Cikgu Mohamad Sahaimi, Sukan Akuatik SK Simpai ini bermula di sebuah parit yang terdapat di Kg. Simpai. Apabila melihat anak-anak Kg. Simpai berenang dan terjun ke dalam parit membuatkan terdetik di hati beliau untuk membangunkan potensi dan bakat anak-anak ini kelandasan yang betul agar segala bakat dan potensi ini tidak terkubur begitu sahaja..


Dengan keazaman yang tinggi dalam diri, beliau berjaya membawa anak-anak orang asli SK Simpai ini menyertai sukan akuatik kerana beliau percaya mereka mempunyai potensi yang besar untuk berjaya.. Demi melihat kejayaan anak didiknya, beliau telah mengadakan sesi latihan bersama mereka dengan membuat latihan di dalam parit di Kg. Simpai kerana tiada kemudahan lain untuk digunapakai di situ.. 


Walaupun menjalankan latihan dalam keadaan yang serba kekurangan, berkat dari kesungguhan dan tunjuk ajar beliau, anak didiknya telah berjaya meraih kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan serta telah menjadi wakil bagi Negeri Pahang dalam SUKMA dalam sukan akuatik.

Kejohanan Akuatik MSS Pahang

Kejohanan Akuatik Pelapis Kebangsaan

SUKMA Perak 2018

ASIAN Games Jakarta

Setelah kejayaan demi kejaya dikecapi, Cikgu Mohamad Sahaimi mengatur langkah untuk membina pusat akuatik sendiri di SK Simpai bagi memberikan keselesaan kepada pelajar SK Simpai dalam menjalani latihan di tempat yang lebih sempurna.


Pembinaan Akademi Akuatik SK Simpai

Pembangunan Prasarana Sekolah

Kemahirannya dalam kerja-kerja pertukangan kayu, kimpalan dan kerja binaan juga telah banyak menyumbang kepada sekolah serta masyarakat seperti membina pentas sekolah, pondok bacaan, membaikpulih pam air dan kerosakan binaan di sekolah, membuat kemudahan seperti tiang gol, pasu bunga, lanskap dan pelbagai lagi sumbangan beliau kepada sekolah demi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada para pelajar serta warga sekolah. 


Apa yang membanggakan semua kemahiran yang beliau ada digunakan untuk membangunkan pendidikan SK Simpai tanpa mengharapkan sebarang balasan atau imbuhan dan beliau sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi mencurah bakti tanpa sebarang keluh kesah.

Cikgu Mie Redah Hutan Guna Kapcai Agih Bantuan Kepada Orang Asli

Bukan sahaja mencurah bakti kepada sekolah malah Cikgu Mohamad Sahaimi turut prihatin terhadap masyarakat sekelilingnya dengan menghulurkan bantuan terutamanya dimusim pandemik ini.. Dengan sikap pemurahnya, beliau sentiasa mengambil berat tentang kesusahan masyarakat orang asli di sekitarnya terutamanya pelajar-pelajar miskin, keluarga yang sakit dan dalam kesusahan.


Di musim pandemik Covid-19 ini, beliau banyak menyumbangkan bantuan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan. Bukan itu sahaja, malah beliau juga turut bertanggungjawab menghantar sendiri 'homework' para pelajarnya dari rumah ke rumah walaupun terpaksa meredah hutan dengan menaiki motosikal dan ada kalanya terpaksa menaiki bot untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disebabkan itu jugalah beliau dihormati, disenangi dan disayangi oleh  masyarakat orang asli di Kg. Simpai.

Betapa besarnya sumbangan Cikgu Mohamad Sahaimi terhadap masyarakat orang asli di sini sehinggakan telah membuka minda masyarakat tentang kepentingan pendidikan sekaligus memberi kesan yang amat positif kepada peningkatan penglibatan penjaga dengan pihak sekolah dari 20% kepada 90%. Bukan itu sahaja, malah disebabkan usaha dan kecekalan beliau dalam merealisasikan plan pembangunan pendidikan di SK Simpai telah memberi impak kepada kehadiran murid dari 68% kepada 94% dan sekaligus memberi peningkatan juga kepada akademik pelajar dari 11% kepada 44% sebelum pandemik Covid-19 melanda negara kita. Begitulah pentingnya kokurikulum di sekolah dalam menarik minat pelajar untuk ke sekolah.

Sumbangan dan Pencapaian Cikgu Mohamad Sahaimi Sepanjang Bergelar Guru


Sumbangan Dalam Kerjaya Perguruan

  • Jurulatih Pusat Kokurikulum Pahang
  • Pengerusi Teknik Akuatik MSS Pahang
  • Teknik Pelayaran MSS Pahang
  • Jurulatih Luar (KBS)
  • Jurulatih Kayak (MASCA)
  • Jurulatih Pendakian (PMM, PKK Pahang)
  • Jurulatih Tali Temali Aras Tinggi (KBS, PKK)
  • Jurulatih Wall Climbing (PMM, PKK Pahang)
  • Jurulatih Pelayaran & Akuatik SK Simpai
  • Boat Handling (Alam)
  • Teknik Rakit Kebangsaan (KPM)
Pencapaian Sepanjang Bergelar Guru
  • Anugerah Jurulatih Cemerlang Kebangsaan 2018
  • Anugerah Jurulatih Cemerlang Kebangsaan 2019
  • Anugerah Kecemerlangan SPPK Pahang 2018
  • Anugerah Guru Adiwira Negeri Pahang 2019
  • Anugerah Ikon Kokurikulum Pahang 2020
  • Duta Guru Nadi Negara

Kata beliau, kejayaan itu tidak akan dicapai seandainya kita tidak berusaha untuk mendapatkannya dan kejayaan itu tidak akan dicapai sekiranya kita tidak mahu bersatu dan bersama berusaha memilikinya. Tidak akan berubah sesuatu kaum atau bangsa itu jika mereka sendiri tidak mahu mengubahnya.

Tuntutlah ilmu yang bermanfaat untuk dirimu dan sampaikan agar ia dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Amalkan sikap membina bukan menjatuhkan. Hanya jiwa yang kental mampu menyerap tekanan - Cikgu Mie Ubai


Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal Pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 


Setelah membaca kisah Cikgu Mohamad Sahaimi ini membuatkan aku sangat kagum dan terharu dengan setiap pengorbanan dan sumbangan yang telah diberikan beliau kepada sekolah SK Simpai.. Beliau sememangnya seorang guru yang sangat hebat, guru yang mempunyi jiwa, guru yang sanggup berkorban wang ringgit, masa dan tenaga tanpa meminta balasan demi melihat kejayaan anak didiknya. Bagi aku, sangat sukar untuk menemui seorang guru sepertinya yang tidak pernah berputus asa walaupun terpaksa melalui pelbagai dugaan dalam membangunkan pendidikan di sekolah SK Simpai.

Memang selayaknya beliau dinobatkan sebagai salah seorang pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 diatas segala usaha dan pengorbanan yang dilakukannya untuk memartabatkan pendidikan negara.

Tahniah diucapkan kepada Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal diatas kemenangannya dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021. Semoga cikgu terus bersemangat juang dan tidak pernah berputus asa dalam mendidik anak bangsa.. Sesungguhnya, pengorbanan cikgu tidak dapat dibalas dengan kata-kata.. Teruslah menjadi guru yang sentiasa memberikan inspirasi kepada anak didik untuk terus berjaya.. Cikgu adalah Guru Luar Biasa!

Dalam kegembiraan beliau mengecapi kemenangan ini, Cikgu Mohamad Sahaimi tidak lupa pada mereka yang memerlukan.. Beliau telah membelanjakan separuh daripada wang kemenangannya itu untuk membantu golongan yang memerlukan. Katanya, setiap rezeki kita ada hak orang lain keatasnya. Semoga Cikgu Mohamad Sahaimi dimurahkan rezeki selalu.. Sememangnya beliau adalah seorang yang pemurah.


Saya mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada McDonald's Malaysia kerana telah memilih 'Si Pendayung Buruk' ini sebagai salah seorang pemenang anugerah ini. "Aku hanya si Pendayung Buruk, biar buruk asal berguna, perahu tak hanyut haluan tak lari. InsyaAllah akan sampai juga" -  Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal

Guru ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi kegelapan.. Tanpa seorang guru, tidak mungkin kita menjadi kita pada hari ini.. Selepas kedua ibu bapa kita, daripada gurulah kita mengenal erti hidup dan belajar banyak perkara untuk menjadi yang terbaik. Sebagaimana kita menghormati kedua ibu bapa kita, begitulah juga kita harus menghormati seorang guru. Mereka telah mengorbankan masa dan tenaga untuk mencurahkan bakti dan budi kepada kita. Jadi, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Semoga segala ilmu yang dicurahkan mereka mendapat keberkatan untuk kita semua menjadi seorang yang berjaya..


Tahniah Cikgu Mohamad Sahaimi bin Zainal!



QuickEdit
Lea Azleeya
5 Comments

5 comments:

  1. Banyaknya pengorbanan beliau. Selayaknya terpilih utk AGI2021.

    ReplyDelete
  2. Sally setiap tahun menanti Hari Guru sbb nak tau cerita-cerita cikgu-cikgu yg terpilih di seluruh Malaysia. Syabas la Mekdi sbb tak pernah jemu memberi penghargaan kepada semua cikgu cikgi dalam Malaysia!

    ReplyDelete
  3. Congrats to all the winners and also Cikgu Mohammad Sahaimi for being awarded.

    ReplyDelete
  4. Hebatnya. Tahniah Cikgu Sahaimi. Semoga jasa-jasa beliau dapat balasan baik di dunia dan akhirat

    ReplyDelete

[name=Lea Azleeya] [img=//1.bp.blogspot.com/-grWfwgzBOkQ/Xq8WSYJDTsI/AAAAAAAAfZI/tVxseM6NvuIeDN_Ksav4Cf2pX3udRXJGQCLcBGAsYHQ/s1600/lea%2B1.jpeg] [description=Hi, Lea here! I'm lifestyle & beauty blogger based in Kuantan, Pahang. I'm started blogging since Jun 2013. For any review, please email me at sotskirts@gmail.com] (facebook=http://www.facebook.com/s0tskirt) (twitter=http://www.twitter.com/LeaAzleeya) (instagram=http://www.instagram.com/lea_azleeya) (youtube=http://www.youtube.com/leaazleeya)