Kisah Inspirasi Guru Hebat Cikgu Norhayati binti Riman Yang Tercalon Dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021

Saturday, May 15, 2021

Kisah Inspirasi Guru Hebat Cikgu Norhayati binti Riman Yang Tercalon Dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021  |  Hi guys.. Assalamualaikum.. Esok Hari Guru dah.. Dalam kita beraya, rasa rindu pula pada guru-guru yang pernah mengajar aku dulu.. Rindu zaman sekolah yang dah lama aku tinggalkan.. Aku masih ingat lagi ada seorang guru ni mengajar subjek Sains.. Garang dia bukan main lagi.. Sampaikan ramai yang tak suka padanya termasuklah aku.. Haha.. Bila difikirkan balik, apabila guru bersikap begitu mesti ada sebabnya.. Semua itu untuk mengajar kita untuk lebih fokus dan serius dalam menimba ilmu.. Kalau tak, semuanya akan ambil sambil lewa sahaja apa yang cikgu ajar.. Silap hari bulan, masuk telinga kanan keluar telinga kiri.. Hehe..

Betullah kata pepatah melayu, Guru Ibarat Lilin Yang Membakar Diri Bagi Menerangi Orang Lain... Mereka sanggup berkorban dan berusaha dalam mendidik demi melihat anak bangsa berjaya.. Bukan sesuatu yang mudah sebenarnya menjadi seorang guru ni.. Ianya memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi dan sudah pastinya sifat sabar itu sangat perlu dalam diri setiap guru itu sendiri.. Yelah, pelajar bukan seorang, tetapi berpuluh-puluh malahan beratus-ratus orang dengan pelbagai ragam dan kerenah..

Namun percayalah, pengorbanan dan jasa guru itu tetap tidak akan dilupakan oleh seluruh masyarakat.. Tanpa guru, sudah pastinya kita tidak mampu melaksanakan pembangunan modal insan yang signifikan untuk negara.. Disebabkan ini jugalah Hari Guru diadakan bagi menghargai mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk memastikan anak bangsa berjaya dalam kehidupan.. Sempena Hari Guru ini juga, McDonald's Malaysia turut memberikan pengiktirafan kepada guru-guru yang telah berusaha dan tidak putus asa dalam mendidik pelajar serta memberi inspirasi kepada mereka untuk berjaya dengan mengadakan Anugerah Guru Inspirasi McDonald's.

Kisah Inspirasi Guru Hebat Cikgu Norhayati binti Riman Yang Tercalon Dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021

Ok, sebelum ni aku dah pun bercerita tentang satu kisah inspirasi seorang guru yang tercalon dalam anugerah ini.. Kalau korang belum baca, boleh baca di SINI ye.. Now, aku nak share satu lagi kisah inspirasi guru hebat iaitu Cikgu Norhayati binti Riman yang juga tercalon dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's bagi tahun ini.. Kalau korang nak tahu, Cikgu Norhayati telah dicalonkan oleh Encik Haszeman Aalaa bin Am Haszime, bekas pelajarnya dimana kini beliau telah menjawat jawatan sebagai Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Negeri Melaka.. Kata beliau, Cikgu Norhayati merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi, mudah didekati pelajar dan sangat kreatif dalam penyampaian ilmu kepada pelajar.. 

Jom aku kenalkan serba sedikit tentang Cikgu Norhayati.. Sebelum aku terbitkan artikel ni, aku ada menemuramah Cikgu Norhayati dan bagi aku beliau adalah seorang yang sangat mudah didekati dan sangat friendly.. Walaupun baru bertegur sapa tanpa bersua muka, tetapi seolah-olah macam dah lama kenal.. TQ Cikgu diatas kerjasama yang diberikan..

Cikgu Norhayati binti Riman, berasal dari Teluk Intan, Perak ini merupakan guru yang mengajar subjek Sains dan Biologi di SMK Lanchang, Pahang. Beliau mempunyai kelulusan dalam bidang Biologi dan Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1998 - 2002) dan pernah menuntut di Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, Pahang serta Maktab Perguruan Ipoh, Perak..

Kata Cikgu Norhayati, kerjaya sebagai seorang guru ni bukanlah kerjaya pilihan hatinya tetapi dia memilih kerjaya ini demi memenuhi hasrat dan keinginan bapanya yang mahukan kesemua anak-anaknya menjadi seorang guru kerana baginya guru adalah satu bidang pekerjaan yang mulia walaupun tidak menjanjikan pulangan yang besar.. Namun setelah menceburi bidang ini, Cikgu Norhayati mula jatuh cinta dan gembira dengan kerjaya ini.. Baginya, menjadi guru bukanlah semudah yang disangka pada awalnya.. Ia penuh dengan getaran graf menurun dan menaik yang sukar dijangka..

Cikgu Norhayati telah menjadi sumber inspirasi kepada pelajarnya kerana cara penyampaian ilmunya yang kreatif dan berkesan.. Apa yang menariknya lagi tentang Cikgu Norhayati, beliau juga seorang yang suka mencabar semua pelajarnya untuk mendapatkan A dalam mata pelajaran yang diajar olehnya.. Setiap tahun dalam peperiksaan SPM, beliau akan meletakkan target sendiri untuk memastikan pelajarnya mendapat A dan kebiasaanya target tercapai malahan adakalanya pencapaian pelajarnya lebih dari target yang ditetapkan olehnya.. Ini menunjukkan bahawa usaha dan komitmen beliau dalam mendidik pelajarnya membuahkan hasil.. Tahniah cikgu!

Selain, sentiasa memastikan para pelajar memahami apa yang diajar, Cikgu Norhayati juga sentiasa menitipkan nasihat kepada mereka supaya menjadi orang yang berjaya dan sering memberi kata-kata positif andai pelajarnya sedang menghadapi masalah agar pelajarnya bersemangat dan berjiwa kental.. 

Cabaran Yang Mengajar Cikgu Norhayati Erti 'Survival of Life'

Apa yang boleh aku katakan disini setelah membaca kisah Cikgu Norhayati ini, beliau adalah Cikgu Luar Biasa yang dapat memberikan inspirasi kepada pelajar malahan kepada masyarakat di luar sana.. Dalam mengharungi liku-liku sebagai seorang guru, beliau telah melalui pelbagai cabaran yang bagi aku agak getir sepanjang beliau menggalas tanggungjawab sebagai guru.. Ada suka dan ada duka.. Cabaran hebat yang dilaluinya ini menjadikan beliau lebih matang dan kental dalam mendidik anak bangsa..

Cabaran yang mengajar Cikgu Norhayati erti 'Survival of Life' adalah semasa postingnya yang pertama sebagai guru dimana beliau ditempatkan di SK LKTP Tembangau Pahang.. Lokasinya jauh di pedalaman dengan tiada kemudahan air bersih dan tiada bekalan elektrik.. Untuk pergi dan pulang dari sekolah, beliau terpaksa melalui jalan tanah merah dan berbatu kerikil sejauh 2 kilometer.. Untuk mandi dan gosok gigi pula, hanya bekalan air telaga/kolam sahaja yang ada.. Apabila gaji dah masuk, beliau terpaksa mengambil masa 2 jam perjalanan dengan menaiki bas tanpa penghawa dingin untuk ke Bandar Bahau bagi tujuan mengambil gaji.. Inilah cabaran yang mengajarnya erta 'Survival of Life'..  Wahhh kental gila la Cikgu Norhayati ni pada aku.. Tabik pada cikgu.. 

Apabila mengajar di tempat yang serba kekurangan seperti ini, Cikgu Norhayati juga harus menjadi lebih kreatif dan beliau terpaksa menggunakan bahan atau alat pembelajaran yang serba sederhana dan agak kuno seadanya disamping memerah keupayaan minda untuk memastikan pelajar sentiasa belajar dalam keadaan yang menyeronokkan..

Bukan itu sahaja yang dilalui olehnya malah cabaran kali ini adalah kesukaran dalam penggunaan bahasa semasa mengajar.. Posting kedua, beliau ditempatkan di SMK Hwa Lian dimana sebahagian besarnya adalah pelajar berbangsa cina.. Kebanyakan pelajar kurang mahir dalam penggunaan Bahasa Melayu.. Bagi melancarkan pembelajaran, Cikgu Norhayati belajar bahasa mereka bermula dari belajar satu hari satu ayat dalam bahasa cina sehinggalah beliau berjaya menarik perhatian pelajar walaupun mengalami sedikit kesukaran.. Begitulah kegigihan Cikgu Norhayati dalam mendidik pelajar-pelajarnya.. Bak kata pepatah, 'Nak seribu daya, tak nak seribu dalih'.. Cikgu hebat ini tidak pernah mengalah, malah terus berjuang untuk memastikan kejayaan para pelajarnya.. 

Cikgu Norhayati Tetap Gigih Mendidik Walaupun Diuji Dengan Masalah Kesihatan

Setiap manusia diuji dengan dugaan yang berbeza.. Begitulah dengan dugaan yang dihadapi oleh Cikgu Norhayati.. Pada tahun 2002, beliau telah disahkan mempunyai ketumbuhan pada ovari dan harus menjalani pembedahan segera kerana saiz ketumbuhan agak besar. Pada tahun itu juga, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengajar pelajar Tingkatan Tiga dalam subjek Sains..

Beliau telah menjalani pembedahan Laparotomy sepanjang 32 jahitan pada abdomen menyebabkan beliau tidak boleh bergerak atau berjalan seperti biasa.. Selama 2 bulan beliau tidak dapat hadir ke sekolah.. Baginya, pelajar yang akan menghadapi peperiksaan dengan keadaan guru mereka yang tidak mampu hadir ke sekolah adalah petanda yang tidak baik kepada keputusan peperiksaan mereka.. Disebabkan itu juga, beliau nekad untuk tetap mengajar meskipun terpaksa meminta anak didiknya datang belajar di rumah pada waktu petang dan malam dalam keadaan beliau mengajar sambil duduk di atas katil dek kerana ketidakupayaannya untuk bergerak dan berjalan walaupun ia sebenarnya melangkaui kemampuan fizikalnya pada masa itu.. Dengan izinNya beliau mampu melakukannya dan akhirnya anak didik beliau berjaya mencapai keputusan yang sangat baik dalam peperiksaan mereka... Cikgu memang guru yang hebat!! 

Pencapaian Cikgu Norhayati Sepanjang Bergelar Seorang Guru

Seperti yang aku katakan di awal tadi, Cikgu Norhayati memang seorang guru yang hebat dan luar biasa.. Pelbagai dugaan dan cabaran telah dilaluinya sepanjang kerjayanya sebagai seorang guru tetapi beliau tetap berjuang tanpa berputus asa dalam mendidik.. Malahan pencapaiannya juga amat membanggakan.. Antara pencapaian yang pernah dikecapi olehnya :-

  • Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2006
  • Penerima Anugerah PErkhidmatan Cemerlang Tahun 2016
  • Peratus lulus 100% subjek sains SPM SMKL Tahun 2016
  • GPS Terbaik Sains SPM SMK Hwa Lian Tahun 2012
  • Subjek Peratus Terbaik SPM 2007 SMK Tembangau
  • Subjek Terbaik SPM Bilangan Cemerlang 2016
Sepanjang bergelar guru, Cikgu Norhayati pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Alam & Manusia, Sains dan Biologi.. Kini beliau mengajar subjek Biologi dan Sains bagi pelajar SPM di SMK Lanchang, Pahang dari tahun 2013 sehinggalah sekarang.. Beliau pernah diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk memegang beberapa jawatan seperti Ketua Panitia Sains (2012 - 2019), Guru Disiplin, SU Hem, SU Pentadbiran (2014 - 2017), Ketua Kor Kadet Bomba, Ahli JK Majlis Sekolah, Ahli Think-Tank Sekolah dan Mentor PdPc...


Bagi Cikgu Norhayati, kenangan paling indah yang tak mungkin dilupakan dalam hidupnya sebagai seorang guru adalah apabila melihat para pelajarnya memperolehi kejayaan.. Melihat mereka menangis gembira dengan kejayaan dan pencapaian mereka dalam keputusan SPM merupakan satu kepuasan bagi beliau kerana telah berusaha sehabis baik untuk membantu mereka mendapatkan apa yang mereka berhak memperolehnya.. Senyuman ibu bapa melihat kejayaan anak-anak mereka juga telah memberi satu suntikan semangat untuk beliau terus berbakti kepada anak bangsa..

Tugas Mendidik Tidak Pernah Berakhir


Sebagai seorang guru, Cikgu Norhayati sentiasa mengharapkan semua anak didiknya berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi dan memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi dengan baik. Beliau juga mengharapkan pelajarnya yang berjaya dapat memanjangkan ilmu dan kemahiran yang ada kepada komuniti sekeliling mereka pula.. Bagi beliau, tugas mendidik tidak pernah berakhir dan beliau akan terus berjuang sehingga ke akhirnya untuk melihat anak bangsanya berjaya..

Sempena Hari Ibu baru-baru ini, seorang anak didik Cikgu Norhayati, Amandeep Kaur - seorang pelajar Punjabi telah mencoretkan sesuatu buat cikgu kesayangannya ini.. 👇

Dear gorgeous mother of mine, I would love to wish you a very happy mother's day. One of the true gem of a person in and out you are the most kindest person i have known. Your smile is so beautiful teacher and keep smiling teacher. Thank you so much for imparting your knowledge to me. You had made me fall in love with science because of the way you teach. You had always given me a great lesson in life which is whatever happens in life we have to be happy and spread happiness. You never know how much i look upon your classes because you are so hilarious. I love the way you talk and everything that's pretending about you. You had always been a great supporter and a woman with full of positivity. You had always made my bad days to be the best days in my life. You may be a teacher for me but for me you are also a mother. I would never forget how much you took care of us buying for us food so we don't starve in hunger and we could study. Because to do that only a motherly gesture will do so and yes you never fail in them. You had always ensure us that we can do our very best. You never had down graded us but you polished us to be a true gem. I really hope I can make you really proud teacher. Please give me your blessings so I could be successful in my life. Please do forgive me teacher if I had hurt your heart. Take care teacher. I love youu sooo muchh my miss world 😘😘😘❤️❤️❤️

 

Dari coretan ini, jelas menunjukkan yang Cikgu Norhayati ini memang disenangi dan disayangi oleh para pelajarnya.. 

Hebatnya mereka yang bergelar guru ye.. Sesungguhnya guru adalah pendorong kepada kejayaan anak didik selepas ibu bapa mereka.. Seorang guru juga sanggup berkorban apa sahaja demi kemajuan anak didiknya.. Tiada keluhan yang didengari yang ada hanyalah senyuman manis yang terlakar dibibir mereka saat mereka menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik.. Penat lelah mereka hanya mereka sahaja yang tahu.. Jadi, kepada ibu bapa dan masyarakat awam di luar sana, fahamilah bahawa Guru mendidik dan menyayangi anak-anak didik mereka tanpa terma dan syarat.. Maafkanlah guru jika kadang kala ada kesilapannya kerana guru juga manusia biasa.. Maka, hormatilah dan doakanlah mereka kerana tanpa keberkatan mereka, kita tidak akan berjaya di dunia ini..

Dengan jasa dan pengorbanan Cikgu Norhayati yang tidak pernah jemu dalam mendidik pelajarnya, memang layaklah beliau dicalonkan dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's ini kerana semangat juangnya dalam mendidik anak bangsa tidak pernah pudar malah beliau memberi lebih daripada apa yang sepatutnya seorang guru berikan.. Terima kasih cikgu..

Ok, untuk ikuti kisah inspirasi Cikgu Norhayati yang dicalonkan oleh Haszeman Aalaa bin Am Haszime, korang boleh layari link ini 👇

https://www.mcdonalds.com.my/bm/anugerahguruinspirasi/nominees/1198

Anugerah Guru Inspirasi McDonald's ini merupakan  anugerah tahunan yang dianjurkan oleh McDonald's Malaysia untuk memberi pengiktirafan kepada guru-guru yang telah melebihi tugasnya dalam mendidik pelajar dan memberi inspirasi kepada mereka untuk melakukan yang lebih baik.. Ini merupakan tahun kelima McDonald's Malaysia menjalankan inisiatif ini..

McDonald's Malaysia akan mengumumkan pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021 pada akhir Mei ini... So, jangan ketinggalan guys! Owh ya, Guru yang memenangi anugerah ini, akan menerima wang tunai RM5000, trofi dan sijil pengiktirafan pada majlis yang akan dianjurkan oleh pihak sekolah masing-masing sempena Hari Guru ini.. Bagi yang mencalonkan pula akan menerima baucar hadiah McDonald's bernilai RM200.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru kepada semua pendidik.. Terima kasih kerana bersabar dalam mengajar kami.. Berjuang sehabis baik untuk kejayaan kami.. Tidak pernah berputus asa dengan kerenah kami.. Sentiasa menyayangi kami.. Jasamu akan dikenang sehingga hujung nyawa dan tidak mampu kami balas sampai bila-bila.. Dikaulah cahaya yang sentiasa menerangi hidup kami yang dalam kegelapan.. Terima kasih Cikgu!

Untuk info lanjut, korang boleh layari https://www.mcdonalds.com.my/bm/anugerahguruinspirasi



12 comments:

  1. Besarnya pengorbanan beliau. Semoga berjaya cikgu

    ReplyDelete
  2. t.kasih cg mengajar saya dan mendidik menjadi seorang pelajar yang berguna .cg hayati memang terbaik��

    ReplyDelete
  3. cikgu yang sangat baik. selalu belanja sarapan dalam kelas kalau ada kelas pagi. semoga murah rezeki cikgu. goodluck

    ReplyDelete
  4. terbaik cikgu yati !! ❤️❤️❤️����

    ReplyDelete
  5. Cg yati mmg seorang yg baik Hati bnyk pengorbnan beliau dgn saya dn kawn2.beliau sentiasa memberi semangat kpd sy..TQ cg yati sbb bnyk tlg sy

    ReplyDelete
  6. Tahniah buat Cikgu Norhayati Yang Tercalon Dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2021

    ReplyDelete
  7. guru macamni la yg susah nk dpt zaman sekarng kan

    ReplyDelete
  8. Tahniah bt guru2 yg tercalon..semua hebat2.. best baca kisah2 mereka ni

    ReplyDelete
  9. Good luck utk cikgu.. tahniah juga sbb tercalon

    ReplyDelete
  10. Tahniah Cijgu norhayati.. Kagum bila baca sakit2 pun nak mneganjar.. Tugas pendidik dah ada dlm jiwa.. Semoga berjaya cikgu Norhayati

    ReplyDelete
  11. Banyak jasa seorang guru dalam mendidik ank murid kan... Tahniah ckgh Hayati kerana tercalon

    ReplyDelete
  12. Less is more memang betul nasihat cikgu norhayati, kita sentiasa hormat guru yang pernak ajar kita sampai bila bila.

    ReplyDelete