S. Subramaniam
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kenaikan hanya memberi kesan kepada 1.5 peratus atau 32,000 pesakit yang kebanyakannya merupakan golongan berkemampuan.

Katanya, ketetapan itu dibuat berikutan tiada kenaikan caj dilakukan sejak 34 tahun lalu, selain kerajaan mahu mengurangkan pembiayaan subsidi kepada pesakit berkemampuan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa peratus kenaikan caj perkhidmatan wad akan dikenakan.

“Kenaikan caj seperti yang dilaporkan di surat khabar kebanyakannya cuma berlaku pada kelas pertama dan separuh daripada rawatan yang diberikan di kelas dua. Dari dahulu lagi perkhidmatan di kelas satu dan dua perlu dibayar, kita tidak menaikkan kadar bayaran untuk jangka masa panjang lebih kurang 30 tahun.

“Walaupun tiada kenaikan caj, kerajaan masih menyediakan subsidi yang tinggi untuk perkhidmatan kelas satu dan dua, oleh itu, kami perlu pastikan kumpulan miskin serta berpendapatan rendah diberikan keutamaan. Prinsip menjaga kebajikan rakyat tetap terpelihara walaupun berlaku kenaikan caj,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Akhbar hari ini melaporkan Kementerian Kesihatan dijangka menaikkan caj wad dan rawatan kelas satu dan dua di seluruh hospital kerajaan di negara ini sehingga 50 peratus mulai Disem­ber ini.

Kenaikan tersebut didakwa turut melibatkan semua jenis rawatan untuk warganegara seperti bayaran wad am dan wad bersalin, rawatan pesakit ditahan dalam wad, fisioterapi, radioterapi dan nuklear, nefrologi serta psikiatri, namun begitu bagi pesakit warganegara yang memilih untuk dirawat di kelas tiga, caj wad dan rawatan kekal dengan kadar lama.

Subramaniam menjelaskan, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan kelas satu dan dua adalah individu berkemampuan dan mereka berminat mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan mungkin kerana faktor doktor yang merawat mempunyai kredibiliti tinggi.

“Mungkin caj yang dikenakan kepada pesakit terbabit boleh membantu hospital untuk mendapatkan ubat tambahan bagi pesakit kelas tiga,” katanya.