Top Social

Image Slider

Showing posts with label karnival kewangan terengganu. Show all posts
Showing posts with label karnival kewangan terengganu. Show all posts

Bank Negara Malaysia dan Industri Kewangan Mendekati Masyarakat Tempatan di Karnival Kewangan Terengganu

Wednesday, April 10, 2019
Bank Negara Malaysia dan Industri Kewangan Mendekati Masyarakat Tempatan di Karnival Kewangan Terengganu  | Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama institusi kewangan telah menganjurkan Karnival Kewangan Terengganu (Karnival) dari 4 hingga 6 April 2019 di TH Hotel & Pusat Konvensyen Kuala Terengganu. Karnival ini merupakan siri kelima selepas Karnival Kewangan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan Kedah.


Karnival yang bertemakan “Utamakan Keperluan Kewangan Anda” ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perkhidmatan dan produk kewangan, celik kewangan dan memperkukuh tahap pengurusan kewangan masyarakat dengan memberikan penekanan pada kecenderungan masyarakat setempat.


Satu siri jerayawara yang diberi nama “Sembang Santai Bersama Rakan-Rakan Karnival Kewangan” telah diadakan sebelum berlangsungnya Karnival sebagai usaha untuk mempromosikan Karnival ini. Melalui jerayawara itu, masyarakat tempatan tanpa mengira usia ditawarkan pelbagai perkhidmatan dan nasihat kewangan seperti tip mengenali ciri-ciri keselamatan wang kertas Malaysia, amalan pengurusan kewangan yang baik, pembukaan akaun bank, cetakan laporan CCRIS dan pendaftaran eCCRIS. Jarak perjalanan sejauh 1,200km yang meliputi 11 lokasi  di Pahang, Terengganu dan Kelantan telah memberikan manfaat kepada lebih 3,000 orang.




Pada 4 April 2019, Karnival ini dihadiri oleh Y.A.B Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.  Semasa lawatan Y.A.B Dr. Ahmad, pelancaran laman sesawang MyWakaf dan Gerbang Pembayaran MyWakaf oleh Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) juga berlangsung.

Di samping itu, BNM mengadakan beberapa sesi dialog dengan perniagaan tempatan, komuniti kewangan, agensi-agensi kerajaan dan pelajar-pelajar universiti yang dipengerusikan oleh Penolong Gabenor Abu Hassan Alshari Yahaya dan Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid. Melalui sesi dialog tersebut, maklum balas positif, cabaran dan pendapat mengenai perkembangan yang memberikan kesan kepada wilayah Pantai Timur turut dikongsi.


Karnival Kewangan Terengganu menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada lebih 18,000 pengunjung dari Pantai Timur. Karnival ini disertai  lebih 40 institusi kewangan dan agensi kerajaan yang mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing serta menyediakan khidmat nasihat kewangan dan akses pembiayaan. Seramai 1,800 pengunjung telah mencetak laporan CCRIS untuk menyemak status kredit dan mendaftar perkhidmatan eCCRIS. Karnival ini turut merekodkan lebih 16,000 khidmat nasihat kewangan dan kira-kira 4,000 transaksi kewangan bernilai lebih RM25 juta telah berjaya disempurnakan.


Para pengunjung mendapat manfaat daripada taklimat tentang topik-topik seperti pembiayaan PKS, Skim Cepat Kaya, pengurusan hutang yang berkesan pada perspektif Islam, e-pembayaran, perlindungan insurans/takaful, Forum Perdana Ehwal Islam serta sesi perkongsian bersama usahawan berjaya seperti Caprice, Yaya Kuih Bulan dan Raw Denim House.




Karnival Kewangan ini adalah satu kerjasama antara Bank Negara Malaysia dengan industri kewangan, dan merupakan salah satu batu loncatan yang penting bagi meningkatkan lagi tahap celik kewangan di Malaysia.



Karnival Kewangan Terengganu Anjuran Bank Negara Malaysia Dari 4 - 6 April 2019

Monday, April 01, 2019
Karnival Kewangan Terengganu Anjuran Bank Negara Malaysia Dari 4 - 6 April 2019  |  Berita baik buat semua warga Terengganu.. Bank Negara Malaysia (BNM) akan menganjurkan Karnival Kewangan Terengganu (Karnival) dari 4 hingga 6 April di TH Hotel and Convention Centre, Kuala Terengganu.


Karnival ini berlangsung di rantau Pantai Timur selepas mengembara ke negeri Sabah, Sarawak dan sekitar negeri di Utara. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kewangan dan menyediakan perkhidmatan kewangan dan pemerkasaan kepada penduduk di Pantai Timur menerusi platform sehenti edutainment kewangan.


Bertemakan “Utamakan Keperluan Kewangan Anda”, Karnival Kewangan Terengganu diambilbahagian oleh lebih 45 institusi kewangan dan agensi kerajaan demi mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang sedia ada. Ini termasuk produk perbankan Islam, pembiayaan PKS, perlindungan insurans / takaful dan e-pembayaran.

Masyarakat tempatan akan mendapat maklumat yang mendalam tentang pelbagai perkara berkaitan kewangan seperti perancangan kewangan, penipuan kewangan dan saluran untuk pembetulan.


Di sini nanti, banyak yang dapat anda pelajari tentang wang palsu, ciri-ciri keselamatan wang, nasihat kewangan dan membuat aduan tentang penipuan scam,\.

Anda juga boleh menyemak serta mencetak laporan CCRIS anda secara percuma dan daftar akaun eCCRIS di booth Bank Negara Malaysia.

Karnival mesra keluarga ini akan menawarkan pelbagai aktiviti termasuk Forum Perdana mengenai kewangan dan hal ehwal Islam, ceramah, aktiviti kanak-kanak dan hadiah berjumlah sehingga RM150,000.


Aktiviti menarik yang lain termasuk sesi perkongsian khas oleh pengembara selebriti dan hos, Mat Dan dan artis rap, Caprice dan konsert mini oleh Sufian Suhaimi dan Shafiq Farhain.

Nampak menarik bukan?

Selain itu, satu siri pameran bergerak (roadshow) akan dianjurkan untuk mempromosikan Karnival, yang bertajuk “Sembang Santai Bersama Rakan-Rakan Karnival Kewangan” di 11 lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Pameran ini diadakan dari 18 hingga 31 Mac :-

  1. Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang Pahang | 18 Mac
  2. Dewan Semai Bakti Felda Jengka 11, Jengka | 19 Mac
  3. Dewan Orang Ramai Ketengah Jaya 1, Bandar Ketengah Jaya Dungun | 20 Mac
  4. Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu | 21 Mac
  5. Dewan Gemilang, UniSZA Kampus Gong Badak | 24 Mac
  6. Dewan Auditorium Mahyuddin UMT Kuala Nerus | 24 Mac
  7. Dewan Majlis Daerah Setiu Sg Tarom, Setiu | 25 Mac
  8. Dewan Majlis Daerah Besut, Kg Gong Kemuntung, Besut | 26 Mac
  9. Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Hulu Terengganu | 27 Mac
  10. Dewan Majlis Daerah Marang, Marang | 28 Mac
  11. Dewan Utama, UMK, Kampus Kota, Pengkalan Chepa | 31 Mac

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari www.karnivalkewangan.com.my atau hubungi Pejabat BNM Terengganu di talian 09-622 0571.

Iklan : Sepanjang Karnival Kewangan Terengganu, anda boleh nikmati diskaun GRAB car RM5 x 2 perjalanan pergi atau balik dari TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu pada 4 hingga 6 April ini menggunakan kod : KKT2019