Paku Yang Lekat di Hati...

Tuesday, August 5, 2014


Assalamualaikum wbt...

Hubungan Sesama Makhluk. Pandangan kita terhadap diri kita sendiri adalah jauh lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap diri kita. Inilah yang dikatakan harga diri dan inilah syarat utama untuk berjaya dalam hidup. Jadi, jangan risau kalau kita tidak dihargai, tetapi risaulah kalau benar-benar diri kita sudah tidak berharga. Harga diri kita bukan terletak pada barang-barang bernilai yang kita pakai atau kita miliki, tetapi pada ilmu, akhlak dan takwa yang ada dalam diri.

Renung-renungkan..


"Jangan suka menyakiti hati orang lain dengan kata-kata kita," nasihat seorang ibu kepada anaknya.

"Saya tahu itu salah, ibu. Tapi, saya akan cepat-cepat minta maaf. Itu satu kelebihan juga bu," balas si anak.

"Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang, anakku," kata ibu itu lagi.

"Saya rasa tidak. Selepas meminta maaf, segala-galanya langsai, ibu."

Si ibu berfikir. Apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini?

"Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti."

Tanpa membantah anak itu setuju.

"Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian, setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu!"

"Baik ibu." 

Beberapa bulan berlalu, mereka sama-sama menghadap dinding tersebut.

"Lihatlah ibu, mana ada paku yang tinggal?" Ujar si anak dengan bangga. "Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tetapi semuanya telah memaafkan saya setelah saya meminta maaf dari mereka."

"Betul kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan, tapi sedarkah kamu....?"

"Maksud ibu..?"

"Cuba kamu tengok dinding ni. Semuanya sudah berlubang, calar dan "berkematu." Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan, tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku....."

Si anak merenung dinding yang berlubang-lubang itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati orang yang telah aku sakiti? 




Jangan menilai sesuatu yang berlaku secara luaran. 
Cuba analisis maksud yang tersirat. Lapangkan hati, bukakan minda. 
Terimalah nasihat dengan terbuka.


Sumber cerita
Angguk Geleng 
Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan


1 comment: